KELESTARIAN DAN KEPERKASAAN BAHASA MELAYU
Kemajuan dunia tanpa sempadan telah merangsang negara melahirkan keperluan sumber manusia bagi membantu negara berhadapan dengan pembangunan yang pesat dan pantas. Generasi muda juga merupakan aset penting negara amat diperlukan memandangkan negara kita turut bersaing dalam mengubah kedudukan ekonomi negara. Di tangan generasi muda inilah nasib bangsa kita akan ditentukan, iaitu bangsa yang menjadikan bahasa Melayu sebagai asas kepada pembinaan negara khususnya melalui peranannya sebagai bahasa pembentuk jati diri bangsa dan sebagai bahasa ilmu. Era globalisasi dengan mudah sahaja boleh melunturkan identiti kita bagi mereka yang rapuh jati dirinya. Tambahan pula, dengan pemerolehan segala macam ilmu pengetahuan yang begitu pantas, cara berfikir, cara bertindak dan cara hidup, semuanya akan berubah. Keadaan ini juga tidak dapat dielak dengan pencabulan kedudukan bahasa, kebudayaan dan cara hidup corak kemelayuan. Untuk menangani cabaran-cabaran sebegini, negara tidak hanya menghendaki generasi muda yang berilmu malahan generasi muda yang mempunyai kemampuan yang mantap di bidang intelektual, spiritual, dan emosional. Justeru itu, sistem pendidikan di Negara Brunei Darussalam telah memberi tumpuan bukan saja terhadap pengetahuan dan kemahiran semata tetapi penyemaian nilai dan tingkah laku yang baik diserapkan dalam diri setiap pelajar. Penyerapan nilai-nilai murni dan tingkah laku yang bersopan ini mampu melahirkan insan yang berilmu, berkemahiran dan mempunyai sahsiah yang dikehendaki oleh negara. Hanya melalui insan yang berilmu, berkemahiran dan bersahsiah tinggi sahaja kelestarian dan keperkasaan bahasa Melayu itu dapat ditanai dengan baik. Sejarah gemilang bahasa Melayu sebagai bahasa yang merentas kehidupan bertamadun tinggi itu perlu diupayakan kesinambungannya pada zaman ini untuk kelestarian dan keperkasaannya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan