Prof. Dr. Shaharir Mohammad Zain |
Peranan bahasa sebagai pengungkap fikiran memang lebih lumrah dipercayai umum kerana itulah pandangan sarjana bahasa dan ahli falsafah amnya terhadap bahasa sebelum abad ke-19M menjangkau ke zaman Yunani sekali pun. Kepercayaan ini membuahkan mitos bahawa ilmu apa pun tidak bergantung bahasa sehingga bahasa apa pun diungkapkan ilmu yang sedia ada nescaya tidak mengubah apa-apa terhadap ilmu itu; tegasnya terjemahan sesebuah ilmu tidak memberi kesan apa-apa kepada ilmu tersebut. Begitu juga dengan pemerolehan ilmu baharu penemu ilmu itu bebas bahasa. Tegasnya ilmu yang serupa ditemui menerusi bahasa apapun yang dihayati oleh pengkajinya. Semua mitos ini mulai terhakis, tetapi memang sukar terhapus, sejak pertengahan abad ke-19M oleh sarjana yang berpandangan baru terhadap peranan bahasa, iaitu bahasa bukan sekadar alat pengungkap kata atau fikiran tetapi juga sebagai penjana fikiran. Inilah yang disoroti dalam makalah ini berasaskan petikan dan pandangan para sarjana bahasa dan linguistik serta ahli falsafah amnya. Ditunjukkan bahawa pandangan peranan bahasa yang lebih dalam ini, iaitu bahasa sebagai pemangkin buah fikiran, pengenal benda atau pembekal daya kognitif, atau yang dijenamakan di sini sebagai penemu ilmu, lebih dominan. Namun ditunjukkan juga bahawa sehingga kini pandangan mereka ini bukan sahaja tidak begitu ditujukan kepada peranan bahasa dalam sains, bahkan ada sarjana yang mengecualikan hujah peranan bahasa sebagai punca kognitif dalam matematik. Yang lain pula tiadalah contoh konkrit diberi dalam sains untuk menguatkan hujah-hujahnya itu. Dalam makalah ini, dipaparkan contoh-contoh yang konkrit tentang peranan bahasa sebagai penemu ilmu dalam bidang sains matematik yang mitos keneutralannya (lebih-lebih lagi dari segi bahasa) memang mengatasi semua ilmu lain. Bidang sains matematik yang dipaparkan di sini ialah kepemimpinan, kepengurusan, ekonomi, kewangan, asas sains ketakpastian (kebarangkalian dan kemungkinan), bahkan yang paling asas, pembilangan (penciptaan nombor dan angka). Setiap satunya ditunjukkan penggunaan bahasa Melayu dalam bidang-bidang itu melahirkan tafsiran baharu, inovasi bahkan matan baharu kepada ilmu tersebut. Umpamanya, kepemimpinan dan kepengurusan dalam bahasa Melayu awal-awal lagi melahirkan dua ilmu yang asasnya berbeza daripada asas ilmu ini di dalam bahasa Inggeris. Akibatnya makna hubungan pemimpin dengan rakyat atau para pekerja dalam sesebuah organisasi itu berbeza daripada yang terbit daripada bahasa Inggeris. Pengurusan dalam bahasa Melayu memberi makna yang tabiinya berbeza (terus mengambil kira adab dan multibudaya) berbanding dengan konsep daripada pengurusan menerusi bahasa Inggeris. Lebih dalam lagi ekorannya ialah terbitnya model matematik kpemimpin dan pengurus yang berbeza atau baharu berbanding dengan model matematik daripada pertimbangan bidang ini dalam bahasa Inggeris. Ekonomi yang berasaskan pada konsep optimum dalam bahasa Inggeris juga mengalami perubahan besar kepada ekonomi baharu yang berasaskan kepada keberpadaan atau kewustaan jika optimum itu dikembalikan kepada bahasa Melayu berbanding dengan bahasa Inggeris yang kita kenal konsepnya selama ini. Banyak sekali teorem tentang keoptimuman yang dianggap maksum dalam ekonomi itu akan berubah kepada teorem keberpadaan atau kewustaan yang memberi kesan yang besar kepada seluruh teori ekonomi. Teori kewangan yang ada kalanya terdapat unsur-unsur riba mencabar sarjana yang menghayati bahasa Melayu untuk memperbaikinya apabila segala istilah asas dalam teori kewangan sekarang yang kita kenali ilmu itu berasaskan kepada bahasa Inggeris ditukar kepada istilah-istilah di dalam bahasa Melayu atau bahasa yang lebih dekat dengan sistem kepercayaan Melayu amnya, bahasa dalam kewangan Islam. Dengan demikian terimbaulah mereka memperbaiki ilmu itu. Dalam sains ketakpastian jika istilah probability dan possibility itu diterjemah ke dalam bahasa Melayu asli (bukan hanya probabiliti/probabilitas dan posibiliti/posibilitas) maka seluruh aksiom bidang ini akan tercabar dan mengimbau seseorang sarjana berbahasa Melayu memperbaiki ilmu ini. Dalam istilah nombor dan pembentukan angka pun ditunjukkan bahasa Melayu memberi makna nombor dan angka yang berlainan daripada yang difahami selama ini ekoran daripada pendukungan istilah Inggeris atas andaian tamadun Melayu tidak pernah berkarya dalam bidang asas ini sekali pun, sedangkan hakikatnya pembilangan Melayu mendahului ilmu itu di dalam bahasa Inggeris.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan