Isnin, 19 Mac 2012

KEBERTERIMAAN ISTILAH MABBIM BIDANG ILMU DASAR:

Dr. Sugiyono, Komisi Penelitian Mabbim Indonesia
Prof. Madya Dr. Haji Jaludin bin Haji Chuchu, Jawatankuasa Penyelidikan
Mabbim Brunei Darussalam
Encik Rusli Bin Abd Ghani, Jawatankuasa Penyelidikan
Mabbim Malaysia
Penelitian ini bertujuan untuk mendapatkan bukti empiris keberterimaan istilah sains asas (iaitu biologi, ilmu fizik, ilmu kimia dan matematik) dalam bahasa Indonesia dan Melayu, dan untuk mengetahui pola keutamaan keberterimaan bagi istilah sains asas dan sikap pengguna terhadap istilah sains asas. Untuk mengetahui keberterimaan istilah sains asas, satu penelitian korpus bertulis dalam bahasa Indonesia dan Melayu dijalankan. Sementara itu, penelitian persepsi juga dijalankan untuk mengetahui persepsi pengguna terhadap istilah sains asas. Penelitian mendapati bahawa tahap keberterimaan istilah sains asas dalam korpus berkenaan tidak mencapai hasil yang memberangsangkan/memuaskan. Dalam dimensi persepsi, keberterimaan sains asas mencapai tahap tertinggi walaupun hasilnya masih kurang memuaskan. Penelitian juga menunjukkan bahawa sesetengah pengguna bahasa masih mengekalkan istilah bahasa asing (bahasa Inggeris) sepenuhnya walaupun istilah bahasa Indonesia/Melayu tersedia. Selain itu, ketepatan makna menjadi faktor utama yang perlu dipertimbangkan untuk menerima atau menolak istilah yang digunakan, walaupun perbezaannya tidak begitu ketara.

Kata kunci: keberterimaan, istilah, korpus, persepsi, sains asas
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan