Selasa, 13 Mac 2012

PEMAKALAH: DATO' A. AZIZ DERAMAN


PENYERLAHAN PERADABAN BANGSA
MELALUI SENI PERSEMBAHAN
 
Dato’ A. Aziz Deraman

Seni itu bermaksud  halus, kecil, elok atau enak di dengar seperti suara atau comel seperti bentuk badan adalah juga merujuk kepada karya (sajak, lukisan, muzik dan lain-lain) yang dicipta dengan bakat atau kecekapan yang istimewa. Gabungan kata ‘seni’ dan ‘persembahan’ menunjukkan suatu kebijaksanaan proses mencipta seni sebagai sesuatu yang indah untuk penghayatan khalayak.  Karya seni itu dihasilkan dari kebolehan istimewa mencipta sesuatu bentuk seni tadi misalnya drama, seni muzik, seni lukis, seni ukir, arca, lagu dan sebagainya yang indah-indah. Yang indah-indah itu pula boleh dikaitkan dengan bahasa (seni bahasa), sastera (seni sastera yakni seni karang mengarang prosa dan puisi), bangunan (seni bina dengan reka bentuk dan pembinaan, drama (seni lakonan pentas atau sandiwara), seni foto, seni muzik, seni ukir, seni tekatan dan sulaman, seni kerajinan tangan (kraftangan), seni pahat, seni mempertahankan diri (seni silat, aikido, taekwando, wushu), seni suara atau bunyi (nyanyian, muzik), seni tari, seni ukir (kemahiran ukir mengukir). Kesemua jenisnya itu tergolong ke dalam kesenian, suatu perihal yang berkaitan dengan kebolehan dan kemahiran luar biasa si pengkarya menciptanya. Pelbagai bentuk kesenian itu menjadi lambang jati diri, citra keperibadian dan ciri-ciri yang menyerlahkan peradaban bangsa. Peradaban lahir dari suatu tahap kebudayaan tinggi, manakala kesenian itu merupakan salah satu bidang kebudayaan yang penting.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan