MEMPERKASA PENGAJIAN MELAYU DAN BUDAYA MELAYU DALAM ERA DIGITAL
Siti
Badriyah Haji Mohamad Yusof
Seiring dengan peredaran waktu, bahasa Melayu,
khususnya di Negara Brunei Darussalam, Malaysia dan Indonesia telah digubal
sebagai bahasa yang piawai dari segi aksara, sebutan, leksikon, serta elemen
ketatabahasaan yang lain. Hasil daripada penggubalan ini seterusnya
diimplimentasi dan diwartakan menerusi pelbagai rujukan utama termasuk daftar
kata, pedoman umum bahasa Melayu dan kamus. Walau bagaimanapun, dalam menempuh
arus gelombang ketiga yang dipangkin penggunaan Info komunikasi dan teknologi
yang meluas, pemantapan dan penyebarluasan bahasa Melayu memerlukan lebih
daripada pelbagai usaha yang telah dijalankan oleh institusi dan agensi yang
berkaitan. Ini termasuk dengan mengambil kira pelbagai kaedah mutakhir bagi
mengantarabangsakan bahasa Melayu bukan saja sebagai bahasa ilmu dan bahasa
ekonomi, bahkan juga sebagai bahasa tinggi setanding dengan bahasa-bahasa utama
lain di dunia. Dalam menyahut keperluan ini, makalah yang sederhana ini secara
ringkas akan membincangkan beberapa perspektif dan inisiatif bagi membenarnyatakan
hasrat warga Melayu untuk melihat kebangkitan kembali bahasa Melayu sebagai
bahasa yang pernah menjadi wahana tamadun Melayu, seimbang dengan keramaian
penuturnya kini iaitu sekitar 300 juta orang. Antara inisiatif yang telah
dijalankan ialah dengan mewujudkan Kerusi Pengajian
Melayu di beberapa buah universiti terkemuka di serata dunia dan pendigitasian
pelbagai dapatan pengkajian Melayu secara sarwajagat. Selain daripada itu, ini
termasuklah dengan mengambil kira pengemaskinian dan perluasan penggunaan
pangkalan data yang berhubung dengan pengkajian Melayu dan penggunaan idea
Bilik Darjah Global atau Global Classroom
sebagai wadah perbincangan pelbagai isu dan bahan penyelidikan yang berkaitan.
Dari satu perspektif lain lagi, usaha penterjemahan beberapa mahakarya Melayu
ke dalam beberapa bahasa utama juga telah mengambil tempat dan ini seterusnya
dilaratkan ke beberapa bentuk adaptasi seperti filem, animasi dan sebagainya.
Adalah diharapkan dengan kehadiran makalah ini, ia dapat memberi semangat dan
inspirasi kepada warga Melayu lain untuk meneruskan usaha pemerkasaan yang giat
dijalankan agar warga Melayu dan institusi serta agensi yang berkaitan saling
berganding bahu dan turut menyumbang kepada proses yang memerlukan perpaduan
dan kesinambungan yang berterusan ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan