Selasa, 20 Mac 2012

MAKLUMAN MENGENAI KERTAS KERJA SEMINAR KEBAHASAAN MABBIM

Urus setia telah menghantar 6 kertas kerja format PDF melalui mel elektronik kepada para peserta yang telah mendaftar melalui emel. Bagi mereka yang mendaftar melalui rakan masing-masing, sila dapatkan softcopy makalah seminar daripada rakan Awang/Dayang yang berkenaan. Kerjasama yang dihulurkan amat dihargai dan diucapkan terima kasih. 

Isnin, 19 Mac 2012

KEBERTERIMAAN ISTILAH MABBIM BIDANG ILMU DASAR:

Dr. Sugiyono, Komisi Penelitian Mabbim Indonesia
Prof. Madya Dr. Haji Jaludin bin Haji Chuchu, Jawatankuasa Penyelidikan
Mabbim Brunei Darussalam
Encik Rusli Bin Abd Ghani, Jawatankuasa Penyelidikan
Mabbim Malaysia
Penelitian ini bertujuan untuk mendapatkan bukti empiris keberterimaan istilah sains asas (iaitu biologi, ilmu fizik, ilmu kimia dan matematik) dalam bahasa Indonesia dan Melayu, dan untuk mengetahui pola keutamaan keberterimaan bagi istilah sains asas dan sikap pengguna terhadap istilah sains asas. Untuk mengetahui keberterimaan istilah sains asas, satu penelitian korpus bertulis dalam bahasa Indonesia dan Melayu dijalankan. Sementara itu, penelitian persepsi juga dijalankan untuk mengetahui persepsi pengguna terhadap istilah sains asas. Penelitian mendapati bahawa tahap keberterimaan istilah sains asas dalam korpus berkenaan tidak mencapai hasil yang memberangsangkan/memuaskan. Dalam dimensi persepsi, keberterimaan sains asas mencapai tahap tertinggi walaupun hasilnya masih kurang memuaskan. Penelitian juga menunjukkan bahawa sesetengah pengguna bahasa masih mengekalkan istilah bahasa asing (bahasa Inggeris) sepenuhnya walaupun istilah bahasa Indonesia/Melayu tersedia. Selain itu, ketepatan makna menjadi faktor utama yang perlu dipertimbangkan untuk menerima atau menolak istilah yang digunakan, walaupun perbezaannya tidak begitu ketara.

Kata kunci: keberterimaan, istilah, korpus, persepsi, sains asas
 

BAHASA PENEMU ILMU

Prof. Dr. Shaharir Mohammad Zain
Peranan bahasa sebagai  pengungkap fikiran memang lebih lumrah dipercayai umum kerana itulah pandangan sarjana bahasa dan ahli falsafah amnya terhadap bahasa sebelum abad        ke-19M menjangkau ke zaman Yunani sekali pun. Kepercayaan ini membuahkan mitos bahawa ilmu apa pun tidak bergantung bahasa sehingga bahasa apa pun diungkapkan ilmu yang sedia ada nescaya tidak mengubah apa-apa terhadap ilmu itu; tegasnya terjemahan sesebuah ilmu tidak memberi kesan apa-apa kepada ilmu tersebut. Begitu juga dengan pemerolehan ilmu baharu penemu ilmu itu bebas bahasa. Tegasnya ilmu yang serupa ditemui menerusi bahasa apapun yang dihayati oleh pengkajinya. Semua mitos ini mulai terhakis, tetapi memang sukar terhapus, sejak pertengahan abad ke-19M oleh sarjana yang berpandangan baru terhadap peranan bahasa, iaitu bahasa bukan sekadar alat pengungkap kata atau fikiran tetapi juga sebagai penjana fikiran. Inilah yang disoroti dalam makalah ini berasaskan petikan dan pandangan  para sarjana bahasa dan linguistik serta ahli falsafah amnya.  Ditunjukkan bahawa pandangan peranan bahasa yang lebih dalam ini, iaitu bahasa sebagai pemangkin buah fikiran, pengenal benda atau pembekal daya kognitif, atau yang dijenamakan di sini sebagai penemu ilmu, lebih dominan. Namun ditunjukkan juga bahawa sehingga kini pandangan mereka ini bukan sahaja tidak begitu ditujukan kepada peranan bahasa dalam sains, bahkan ada sarjana  yang mengecualikan hujah peranan bahasa sebagai punca kognitif  dalam matematik. Yang lain pula tiadalah contoh konkrit diberi dalam sains untuk menguatkan hujah-hujahnya itu. Dalam makalah ini, dipaparkan contoh-contoh yang konkrit tentang peranan bahasa sebagai penemu ilmu  dalam bidang sains matematik yang mitos keneutralannya (lebih-lebih lagi dari segi bahasa) memang mengatasi semua ilmu lain. Bidang sains matematik yang dipaparkan di sini ialah kepemimpinan, kepengurusan, ekonomi, kewangan, asas sains ketakpastian (kebarangkalian dan kemungkinan), bahkan yang paling asas, pembilangan (penciptaan nombor dan angka). Setiap satunya ditunjukkan penggunaan bahasa Melayu dalam bidang-bidang itu melahirkan tafsiran baharu, inovasi bahkan matan  baharu kepada ilmu tersebut. Umpamanya, kepemimpinan dan kepengurusan dalam bahasa Melayu awal-awal lagi melahirkan dua ilmu yang asasnya berbeza daripada asas ilmu ini di dalam bahasa Inggeris.  Akibatnya makna hubungan pemimpin dengan rakyat atau para pekerja dalam sesebuah organisasi itu berbeza daripada yang terbit daripada bahasa Inggeris. Pengurusan dalam bahasa Melayu memberi makna yang tabiinya berbeza (terus mengambil kira adab dan multibudaya) berbanding dengan konsep daripada pengurusan menerusi bahasa Inggeris. Lebih dalam lagi ekorannya ialah terbitnya model matematik kpemimpin dan pengurus yang berbeza atau baharu berbanding dengan model matematik daripada pertimbangan bidang ini dalam bahasa Inggeris. Ekonomi yang berasaskan pada konsep optimum dalam bahasa Inggeris juga mengalami perubahan besar kepada ekonomi baharu yang berasaskan kepada keberpadaan atau kewustaan jika optimum itu dikembalikan kepada bahasa Melayu berbanding dengan bahasa Inggeris yang kita kenal  konsepnya selama ini. Banyak sekali teorem tentang keoptimuman yang dianggap maksum dalam ekonomi itu akan berubah kepada teorem keberpadaan atau kewustaan yang memberi kesan yang besar kepada seluruh teori ekonomi. Teori kewangan yang ada kalanya terdapat unsur-unsur  riba mencabar sarjana yang menghayati bahasa Melayu untuk memperbaikinya apabila segala istilah asas dalam teori kewangan sekarang yang kita kenali ilmu itu berasaskan kepada bahasa Inggeris ditukar kepada istilah-istilah di dalam bahasa Melayu atau bahasa yang lebih dekat dengan  sistem kepercayaan Melayu amnya, bahasa dalam kewangan Islam. Dengan demikian terimbaulah mereka memperbaiki ilmu itu.  Dalam sains ketakpastian jika istilah probability dan possibility itu diterjemah ke dalam bahasa Melayu asli (bukan hanya probabiliti/probabilitas dan posibiliti/posibilitas) maka seluruh aksiom bidang ini akan tercabar dan mengimbau seseorang sarjana berbahasa Melayu memperbaiki ilmu ini. Dalam istilah nombor dan pembentukan angka pun ditunjukkan bahasa Melayu memberi makna nombor dan angka yang berlainan daripada yang difahami selama ini ekoran daripada pendukungan istilah Inggeris atas andaian tamadun Melayu tidak pernah berkarya dalam bidang asas ini sekali pun, sedangkan hakikatnya pembilangan Melayu mendahului ilmu itu di dalam bahasa Inggeris.

Rabu, 14 Mac 2012

MAKLUMAN BARU

PENDAFTARAN MENGIKUTI SEMINAR DITUTUP HARI INI, KHAMIS 15 MAC 2012 PUKUL 11.00 PAGI. URUS SETIA HANYA MENERIMA PENDAFTARAN YANG DIBUAT MELALUI SURAT UNDANGAN RASMI JABATAN INI YANG DITUJUKAN KEPADA JABATAN-JABATAN KERAJAAN DAN KEMENTERIAN, DAN SEKOLAH-SEKOLAH MENENGAH. SOKONGAN DAN MINAT YANG DITUNJUKKAN TUAN-TUAN/PUAN-PUAN UNTUK MENGIKUTI SEMINAR KEBAHASAAN MABBIM 2012 AMAT DIHARGAI. NAMUN KERANA RUANG YANG TERHAD, MAKA PENYERTAAN DIBATASKAN.

TUAN-TUAN/PUAN-PUAN YANG TELAH MENDAFTAR, SILA AMBIL PERHATIAN BAHAWA SESI PENDAFTARAN SEMINAR AKAN DIADAKAN PADA HARI SELASA, 03 APRIL 2012 PUKUL 13.45 - 16.00 DI RUANG LEGAR, SONGKET BALLROOM, HOTEL ANTARABANGSA RIZQUN. BAGI MEMPERCEPATKAN PENGURUSAN MASA, TUAN-TUAN/PUAN-PUAN DINASIHATKAN UNTUK MENGINGATI DAN MENYATAKAN NO BILANGAN TUAN-TUAN/PUAN-PUAN SEPERTI YANG TERTERA DALAM SENARAI PESERTA (RUJUK ARKIB CATATAN BULAN FEBRUARI DALAM LAMAN INI). KAD UNDANGAN MENGHADIRI SEMINAR DAN TAG NAMA AKAN DIBERIKAN SEMASA HARI PENDAFTARAN. MAKALAH SEMINAR TIDAK DIBERIKAN. URUS SETIA MUNGKIN AKAN MEMBERIKANNYA LEBIH AWAL MELALUI EMEL BEBERAPA HARI SEBELUM SEMINAR,

SEKIAN DAN HARAP MAKLUM

Selasa, 13 Mac 2012

PEMAKALAH: DATO' A. AZIZ DERAMAN


PENYERLAHAN PERADABAN BANGSA
MELALUI SENI PERSEMBAHAN
 
Dato’ A. Aziz Deraman

Seni itu bermaksud  halus, kecil, elok atau enak di dengar seperti suara atau comel seperti bentuk badan adalah juga merujuk kepada karya (sajak, lukisan, muzik dan lain-lain) yang dicipta dengan bakat atau kecekapan yang istimewa. Gabungan kata ‘seni’ dan ‘persembahan’ menunjukkan suatu kebijaksanaan proses mencipta seni sebagai sesuatu yang indah untuk penghayatan khalayak.  Karya seni itu dihasilkan dari kebolehan istimewa mencipta sesuatu bentuk seni tadi misalnya drama, seni muzik, seni lukis, seni ukir, arca, lagu dan sebagainya yang indah-indah. Yang indah-indah itu pula boleh dikaitkan dengan bahasa (seni bahasa), sastera (seni sastera yakni seni karang mengarang prosa dan puisi), bangunan (seni bina dengan reka bentuk dan pembinaan, drama (seni lakonan pentas atau sandiwara), seni foto, seni muzik, seni ukir, seni tekatan dan sulaman, seni kerajinan tangan (kraftangan), seni pahat, seni mempertahankan diri (seni silat, aikido, taekwando, wushu), seni suara atau bunyi (nyanyian, muzik), seni tari, seni ukir (kemahiran ukir mengukir). Kesemua jenisnya itu tergolong ke dalam kesenian, suatu perihal yang berkaitan dengan kebolehan dan kemahiran luar biasa si pengkarya menciptanya. Pelbagai bentuk kesenian itu menjadi lambang jati diri, citra keperibadian dan ciri-ciri yang menyerlahkan peradaban bangsa. Peradaban lahir dari suatu tahap kebudayaan tinggi, manakala kesenian itu merupakan salah satu bidang kebudayaan yang penting.

Isnin, 12 Mac 2012

MAKLUMAN TERKINI

Untuk makluman peserta seminar yang telah mendaftar, Tuan/Puan/Awang/Dayang dijunjung/dipohonkan untuk menghadiri sesi pendaftaran seminar, keterangan adalah seperti berikut;

Tarikh        : 03 April 2012 (Selasa)
Pukul         : 13.45 - 16.00
Bertempat  : Ruang Legar Songket Ballroom, Tingkat 4, Hotel Antarabangsa Rizqun, Gadong.



 *gambar contoh


PERHATIAN    : Makalah seminar tidak disediakan. Jawatankuasa hanya akan memberikan softcopy makalah  berdasarkan makalah yang diterima daripada pemakalah [Sila bawa pemacu pen (pendrive untuk mendapatkan softcopy)]. Berdasarkan pengalaman, tidak semua makalah yang dibentangkan diterima. Terdapat pemakalah yang memberikan makalah mereka kepada urus setia pada hari pembentangan mereka. Makalah yang diberi pada saat akhir, TIDAK DISEDIAKAN SOFCOPY.

Semasa mendaftar dan pada hari seminar, Tuan/Puan/Awang/Dayang diminta mengingati NOMBOR BILANGAN PENDAFTARAN untuk mengefektif pengurusan masa urus setia dan masa Tuan/Puan/Awang/Dayang. No. bilangan pendaftaran tertera dalam arkib bulan Februari dalam laman ini.

Pada hari Rabu, 04 April 2012, bas shuttle akan disediakan dari pukul 7.30 - 8.45 pagi di kawasan tamu (Pasar Gadong) untuk membawa jemputan dan peserta seminar ke Hotel Antarabangsa Rizqun.               

Rabu, 7 Mac 2012

PEMAKALAH: ANNALIZA BAKRI


PEDAGOGI KRITIS: KETERIKATAN BAHASA DAN BUDAYA ILMU KE ARAH PEMBENTUKAN MASYARAKAT PROGRESIF
Cik Annaliza Bakri
Jabatan Pengajian Melayu
Universiti Nasional Singapura

Makalah ini membincangkan pentingnya persoalan pedagogi kritis dalam usaha pembentukan masyarakat progresif yang berkait rapat dengan budaya ilmu dan bahasa. Umumnya persoalan bahasa dan budaya ilmu tidak dikaitkan secara substantif dan seringkali hal bahasa ditanggapi dalam hal teknis dan struktural. Timbul juga keadaan apabila persoalan bidang ilmu dikesampingkan sebagai suatu wacana tinggi yang sukar diterapkan dalam persoalan bahasa. Dalam persoalan pendidikan transformatif yang diajukan dalam wacana pedagogi kritis, pengintelektualan bahasa ditekankan dan hal keintelektualan itu diberikan keutamaan dalam perkembangan bahasa. Oleh itu, usaha untuk memperlengkap bahasa harus merangkumi proses pengintelektualan. Perkonsepsian bahasa moden harus mempamerkan kebolehan bahasa itu untuk menampung idea-idea yang bersifat intelektual tanpa memisahkan aspek keintelektualan daripada perkembangan bahasa. Peranan bahasa dalam persoalan pengukuhan jati diri harus meliputi aspek keintelektualan kerana dalam membincangkan pentingnya mentransformasikan budaya ilmu, adalah wajar untuk membangunkan bahasa supaya dapat mengungkapkan hal-hal yang bersifat intelektual dan kritis dengan berkesan dalam usaha membentuk masyarakat ke arah kecemerlangan. Tambahan pula, dengan memartabatkan bahasa, persoalan budaya masyarakat yang transformatif dapat dicapai melalui wacana intelektual. Melalui bahasa, budaya sesebuah masyarakat itu dirangsang dan bukan setakat dilestarikan tetapi dihidupkan dan sekaligus mampu mentransformasikan masyarakat.