Isnin, 19 Mac 2012

BAHASA PENEMU ILMU

Prof. Dr. Shaharir Mohammad Zain
Peranan bahasa sebagai  pengungkap fikiran memang lebih lumrah dipercayai umum kerana itulah pandangan sarjana bahasa dan ahli falsafah amnya terhadap bahasa sebelum abad        ke-19M menjangkau ke zaman Yunani sekali pun. Kepercayaan ini membuahkan mitos bahawa ilmu apa pun tidak bergantung bahasa sehingga bahasa apa pun diungkapkan ilmu yang sedia ada nescaya tidak mengubah apa-apa terhadap ilmu itu; tegasnya terjemahan sesebuah ilmu tidak memberi kesan apa-apa kepada ilmu tersebut. Begitu juga dengan pemerolehan ilmu baharu penemu ilmu itu bebas bahasa. Tegasnya ilmu yang serupa ditemui menerusi bahasa apapun yang dihayati oleh pengkajinya. Semua mitos ini mulai terhakis, tetapi memang sukar terhapus, sejak pertengahan abad ke-19M oleh sarjana yang berpandangan baru terhadap peranan bahasa, iaitu bahasa bukan sekadar alat pengungkap kata atau fikiran tetapi juga sebagai penjana fikiran. Inilah yang disoroti dalam makalah ini berasaskan petikan dan pandangan  para sarjana bahasa dan linguistik serta ahli falsafah amnya.  Ditunjukkan bahawa pandangan peranan bahasa yang lebih dalam ini, iaitu bahasa sebagai pemangkin buah fikiran, pengenal benda atau pembekal daya kognitif, atau yang dijenamakan di sini sebagai penemu ilmu, lebih dominan. Namun ditunjukkan juga bahawa sehingga kini pandangan mereka ini bukan sahaja tidak begitu ditujukan kepada peranan bahasa dalam sains, bahkan ada sarjana  yang mengecualikan hujah peranan bahasa sebagai punca kognitif  dalam matematik. Yang lain pula tiadalah contoh konkrit diberi dalam sains untuk menguatkan hujah-hujahnya itu. Dalam makalah ini, dipaparkan contoh-contoh yang konkrit tentang peranan bahasa sebagai penemu ilmu  dalam bidang sains matematik yang mitos keneutralannya (lebih-lebih lagi dari segi bahasa) memang mengatasi semua ilmu lain. Bidang sains matematik yang dipaparkan di sini ialah kepemimpinan, kepengurusan, ekonomi, kewangan, asas sains ketakpastian (kebarangkalian dan kemungkinan), bahkan yang paling asas, pembilangan (penciptaan nombor dan angka). Setiap satunya ditunjukkan penggunaan bahasa Melayu dalam bidang-bidang itu melahirkan tafsiran baharu, inovasi bahkan matan  baharu kepada ilmu tersebut. Umpamanya, kepemimpinan dan kepengurusan dalam bahasa Melayu awal-awal lagi melahirkan dua ilmu yang asasnya berbeza daripada asas ilmu ini di dalam bahasa Inggeris.  Akibatnya makna hubungan pemimpin dengan rakyat atau para pekerja dalam sesebuah organisasi itu berbeza daripada yang terbit daripada bahasa Inggeris. Pengurusan dalam bahasa Melayu memberi makna yang tabiinya berbeza (terus mengambil kira adab dan multibudaya) berbanding dengan konsep daripada pengurusan menerusi bahasa Inggeris. Lebih dalam lagi ekorannya ialah terbitnya model matematik kpemimpin dan pengurus yang berbeza atau baharu berbanding dengan model matematik daripada pertimbangan bidang ini dalam bahasa Inggeris. Ekonomi yang berasaskan pada konsep optimum dalam bahasa Inggeris juga mengalami perubahan besar kepada ekonomi baharu yang berasaskan kepada keberpadaan atau kewustaan jika optimum itu dikembalikan kepada bahasa Melayu berbanding dengan bahasa Inggeris yang kita kenal  konsepnya selama ini. Banyak sekali teorem tentang keoptimuman yang dianggap maksum dalam ekonomi itu akan berubah kepada teorem keberpadaan atau kewustaan yang memberi kesan yang besar kepada seluruh teori ekonomi. Teori kewangan yang ada kalanya terdapat unsur-unsur  riba mencabar sarjana yang menghayati bahasa Melayu untuk memperbaikinya apabila segala istilah asas dalam teori kewangan sekarang yang kita kenali ilmu itu berasaskan kepada bahasa Inggeris ditukar kepada istilah-istilah di dalam bahasa Melayu atau bahasa yang lebih dekat dengan  sistem kepercayaan Melayu amnya, bahasa dalam kewangan Islam. Dengan demikian terimbaulah mereka memperbaiki ilmu itu.  Dalam sains ketakpastian jika istilah probability dan possibility itu diterjemah ke dalam bahasa Melayu asli (bukan hanya probabiliti/probabilitas dan posibiliti/posibilitas) maka seluruh aksiom bidang ini akan tercabar dan mengimbau seseorang sarjana berbahasa Melayu memperbaiki ilmu ini. Dalam istilah nombor dan pembentukan angka pun ditunjukkan bahasa Melayu memberi makna nombor dan angka yang berlainan daripada yang difahami selama ini ekoran daripada pendukungan istilah Inggeris atas andaian tamadun Melayu tidak pernah berkarya dalam bidang asas ini sekali pun, sedangkan hakikatnya pembilangan Melayu mendahului ilmu itu di dalam bahasa Inggeris.

Rabu, 14 Mac 2012

MAKLUMAN BARU

PENDAFTARAN MENGIKUTI SEMINAR DITUTUP HARI INI, KHAMIS 15 MAC 2012 PUKUL 11.00 PAGI. URUS SETIA HANYA MENERIMA PENDAFTARAN YANG DIBUAT MELALUI SURAT UNDANGAN RASMI JABATAN INI YANG DITUJUKAN KEPADA JABATAN-JABATAN KERAJAAN DAN KEMENTERIAN, DAN SEKOLAH-SEKOLAH MENENGAH. SOKONGAN DAN MINAT YANG DITUNJUKKAN TUAN-TUAN/PUAN-PUAN UNTUK MENGIKUTI SEMINAR KEBAHASAAN MABBIM 2012 AMAT DIHARGAI. NAMUN KERANA RUANG YANG TERHAD, MAKA PENYERTAAN DIBATASKAN.

TUAN-TUAN/PUAN-PUAN YANG TELAH MENDAFTAR, SILA AMBIL PERHATIAN BAHAWA SESI PENDAFTARAN SEMINAR AKAN DIADAKAN PADA HARI SELASA, 03 APRIL 2012 PUKUL 13.45 - 16.00 DI RUANG LEGAR, SONGKET BALLROOM, HOTEL ANTARABANGSA RIZQUN. BAGI MEMPERCEPATKAN PENGURUSAN MASA, TUAN-TUAN/PUAN-PUAN DINASIHATKAN UNTUK MENGINGATI DAN MENYATAKAN NO BILANGAN TUAN-TUAN/PUAN-PUAN SEPERTI YANG TERTERA DALAM SENARAI PESERTA (RUJUK ARKIB CATATAN BULAN FEBRUARI DALAM LAMAN INI). KAD UNDANGAN MENGHADIRI SEMINAR DAN TAG NAMA AKAN DIBERIKAN SEMASA HARI PENDAFTARAN. MAKALAH SEMINAR TIDAK DIBERIKAN. URUS SETIA MUNGKIN AKAN MEMBERIKANNYA LEBIH AWAL MELALUI EMEL BEBERAPA HARI SEBELUM SEMINAR,

SEKIAN DAN HARAP MAKLUM

Selasa, 13 Mac 2012

PEMAKALAH: DATO' A. AZIZ DERAMAN


PENYERLAHAN PERADABAN BANGSA
MELALUI SENI PERSEMBAHAN
 
Dato’ A. Aziz Deraman

Seni itu bermaksud  halus, kecil, elok atau enak di dengar seperti suara atau comel seperti bentuk badan adalah juga merujuk kepada karya (sajak, lukisan, muzik dan lain-lain) yang dicipta dengan bakat atau kecekapan yang istimewa. Gabungan kata ‘seni’ dan ‘persembahan’ menunjukkan suatu kebijaksanaan proses mencipta seni sebagai sesuatu yang indah untuk penghayatan khalayak.  Karya seni itu dihasilkan dari kebolehan istimewa mencipta sesuatu bentuk seni tadi misalnya drama, seni muzik, seni lukis, seni ukir, arca, lagu dan sebagainya yang indah-indah. Yang indah-indah itu pula boleh dikaitkan dengan bahasa (seni bahasa), sastera (seni sastera yakni seni karang mengarang prosa dan puisi), bangunan (seni bina dengan reka bentuk dan pembinaan, drama (seni lakonan pentas atau sandiwara), seni foto, seni muzik, seni ukir, seni tekatan dan sulaman, seni kerajinan tangan (kraftangan), seni pahat, seni mempertahankan diri (seni silat, aikido, taekwando, wushu), seni suara atau bunyi (nyanyian, muzik), seni tari, seni ukir (kemahiran ukir mengukir). Kesemua jenisnya itu tergolong ke dalam kesenian, suatu perihal yang berkaitan dengan kebolehan dan kemahiran luar biasa si pengkarya menciptanya. Pelbagai bentuk kesenian itu menjadi lambang jati diri, citra keperibadian dan ciri-ciri yang menyerlahkan peradaban bangsa. Peradaban lahir dari suatu tahap kebudayaan tinggi, manakala kesenian itu merupakan salah satu bidang kebudayaan yang penting.

Isnin, 12 Mac 2012

MAKLUMAN TERKINI

Untuk makluman peserta seminar yang telah mendaftar, Tuan/Puan/Awang/Dayang dijunjung/dipohonkan untuk menghadiri sesi pendaftaran seminar, keterangan adalah seperti berikut;

Tarikh        : 03 April 2012 (Selasa)
Pukul         : 13.45 - 16.00
Bertempat  : Ruang Legar Songket Ballroom, Tingkat 4, Hotel Antarabangsa Rizqun, Gadong.



 *gambar contoh


PERHATIAN    : Makalah seminar tidak disediakan. Jawatankuasa hanya akan memberikan softcopy makalah  berdasarkan makalah yang diterima daripada pemakalah [Sila bawa pemacu pen (pendrive untuk mendapatkan softcopy)]. Berdasarkan pengalaman, tidak semua makalah yang dibentangkan diterima. Terdapat pemakalah yang memberikan makalah mereka kepada urus setia pada hari pembentangan mereka. Makalah yang diberi pada saat akhir, TIDAK DISEDIAKAN SOFCOPY.

Semasa mendaftar dan pada hari seminar, Tuan/Puan/Awang/Dayang diminta mengingati NOMBOR BILANGAN PENDAFTARAN untuk mengefektif pengurusan masa urus setia dan masa Tuan/Puan/Awang/Dayang. No. bilangan pendaftaran tertera dalam arkib bulan Februari dalam laman ini.

Pada hari Rabu, 04 April 2012, bas shuttle akan disediakan dari pukul 7.30 - 8.45 pagi di kawasan tamu (Pasar Gadong) untuk membawa jemputan dan peserta seminar ke Hotel Antarabangsa Rizqun.               

Rabu, 7 Mac 2012

PEMAKALAH: ANNALIZA BAKRI


PEDAGOGI KRITIS: KETERIKATAN BAHASA DAN BUDAYA ILMU KE ARAH PEMBENTUKAN MASYARAKAT PROGRESIF
Cik Annaliza Bakri
Jabatan Pengajian Melayu
Universiti Nasional Singapura

Makalah ini membincangkan pentingnya persoalan pedagogi kritis dalam usaha pembentukan masyarakat progresif yang berkait rapat dengan budaya ilmu dan bahasa. Umumnya persoalan bahasa dan budaya ilmu tidak dikaitkan secara substantif dan seringkali hal bahasa ditanggapi dalam hal teknis dan struktural. Timbul juga keadaan apabila persoalan bidang ilmu dikesampingkan sebagai suatu wacana tinggi yang sukar diterapkan dalam persoalan bahasa. Dalam persoalan pendidikan transformatif yang diajukan dalam wacana pedagogi kritis, pengintelektualan bahasa ditekankan dan hal keintelektualan itu diberikan keutamaan dalam perkembangan bahasa. Oleh itu, usaha untuk memperlengkap bahasa harus merangkumi proses pengintelektualan. Perkonsepsian bahasa moden harus mempamerkan kebolehan bahasa itu untuk menampung idea-idea yang bersifat intelektual tanpa memisahkan aspek keintelektualan daripada perkembangan bahasa. Peranan bahasa dalam persoalan pengukuhan jati diri harus meliputi aspek keintelektualan kerana dalam membincangkan pentingnya mentransformasikan budaya ilmu, adalah wajar untuk membangunkan bahasa supaya dapat mengungkapkan hal-hal yang bersifat intelektual dan kritis dengan berkesan dalam usaha membentuk masyarakat ke arah kecemerlangan. Tambahan pula, dengan memartabatkan bahasa, persoalan budaya masyarakat yang transformatif dapat dicapai melalui wacana intelektual. Melalui bahasa, budaya sesebuah masyarakat itu dirangsang dan bukan setakat dilestarikan tetapi dihidupkan dan sekaligus mampu mentransformasikan masyarakat.

Isnin, 27 Februari 2012

PEMAKALAH: DJAUHARI SUMINTARDJA

MEMPERKASA BAHASA MELAYU MELALUI RUPA, NAMA DAN MAKNA SENI HIAS BANGUNAN DALAM KEBUDAYAAN MELAYU

Masa kejayaan Kebudayaan Melayu yang unggul di masa lalu, sesungguhnya berlanjut sampai ke masa kini melalui antara lain perkembangan di dunia arsitektur yang merupakan wujud budaya yang khas karena sifatnya sangat visual, dan fungsional, permanen dan mudah dikenal. Mengungkapkan rasa keindahan arsitektur dapat dilakukan bukan hanya dengan pancaindera penglihatan saja tetapi juga dengan dituangkan secara terucap atau tertulis. Maka sesungguhnya hal itu berarti bahwa dunia arsitektur dapat meningkatkan kekayaan bahasa Melayu secara tulisan atau lisan.

Kesamaan dalam bentuk dan seni hias bangunan di kawasan Nusantara dan ASEAN mudah dikenali karena memang budaya kawasan ini  berakar dari budayaan serumpun. Makalah ini mengangkat bagaimana dalam kebudayaan Melayu terlihat keterkaitan antara bahasa dengan nilai keindahan seni bangunan; serta adanya kesamaan yang dapat dikenali dengan mengambil beberapa contoh bentuk hiasan seni bangunan di kawasan Budaya Melayu.
 .
Kata-kata Kunci : Budaya Melayu; Seni Bangunan/ Arsitektur

PEMAKALAH: HAJI ABD. RAHMAN BIN HAJI NAWI

KELESTARIAN DAN KEPERKASAAN BAHASA MELAYU
MELALUI KEMAHIRAN INSANIAH

Haji Abd. Rahman bin Haji Nawi


Kemajuan dunia tanpa sempadan telah merangsang negara melahirkan keperluan sumber manusia bagi membantu negara berhadapan dengan pembangunan yang pesat dan pantas.  Generasi muda juga merupakan aset penting  negara amat diperlukan memandangkan negara kita turut bersaing dalam mengubah kedudukan ekonomi negara.  Di tangan generasi muda inilah nasib bangsa kita akan ditentukan, iaitu bangsa yang menjadikan bahasa Melayu sebagai asas kepada pembinaan negara khususnya melalui peranannya sebagai bahasa pembentuk jati diri bangsa dan sebagai bahasa ilmu.  Era globalisasi dengan mudah sahaja boleh melunturkan identiti kita bagi mereka yang rapuh jati dirinya.  Tambahan pula, dengan pemerolehan segala macam ilmu pengetahuan yang begitu pantas, cara berfikir, cara bertindak dan cara hidup, semuanya akan berubah.  Keadaan ini juga tidak dapat dielak dengan pencabulan kedudukan bahasa, kebudayaan dan cara hidup corak kemelayuan.  Untuk menangani cabaran-cabaran sebegini, negara tidak hanya menghendaki generasi muda yang berilmu malahan generasi muda yang mempunyai kemampuan yang mantap di bidang intelektual, spiritual, dan emosional.  Justeru itu, sistem pendidikan di Negara Brunei Darussalam telah memberi tumpuan bukan saja terhadap pengetahuan dan kemahiran semata tetapi penyemaian nilai dan tingkah laku yang baik diserapkan dalam diri setiap pelajar.  Penyerapan nilai-nilai murni dan tingkah laku yang bersopan ini mampu melahirkan insan yang berilmu, berkemahiran dan mempunyai sahsiah yang dikehendaki oleh negara.  Hanya melalui insan yang berilmu, berkemahiran dan bersahsiah tinggi sahaja kelestarian dan keperkasaan bahasa Melayu itu dapat ditanai dengan baik.  Sejarah gemilang bahasa Melayu sebagai bahasa yang merentas kehidupan bertamadun tinggi itu perlu diupayakan kesinambungannya pada zaman ini untuk kelestarian dan keperkasaannya.